Loading...
TR

Berat mulut nak ucap terima kasih, bagai ketul emas akan terpacul dari mulut


Sejak dari kecil, kita diajar untuk ringankan mulut untuk mengucap terima kasih kepada mereka yang membantu atau memudahkan kita. Sama ada di rumah atau di sekolah, seringkali diajar untuk mengucapkan dua patah perkataan itu. Namun hari ini, ramai yang berat menyebut 'terima kasih', 

Bukan mengharapkan sangat ucapan terima kasih tetapi adab bila sudah dibantu, ucaplah terima kasih tak kira perkara itu kecil atau besar sekalipun. Bayangkan pada awalnya individu diminta untuk membantu itu sebenarnya berat hati nak membantu. Lalu dia melakukan perkara yang dipinta sambil membebel-bebel. Namun selepas anda mengucapkan terima kasih, sekurang-kurangnya dapat menyejukkan hatinya. 

Semoga teguran dari Abd Ghani Haron ini dimanfaatkan bersama. 

BAGAI KETUL EMAS AKAN TERPACUL DARI MULUT

Sebuah maahad tahfiz minta tolong dibiaya wiring elektrik kepada projek sedekah jariah. Bila siap disempurnakan, sepatah ayat pun saya tak terima.

Sebuah maahad tahfiz juga menerima beras sumbangan yang mereka minta dari projek ini. Bila dihantar, tak sepatah kata sampai ke telinga saya. 

Sebuah maahad tahfiz juga yang minta dipasang karpet di surau. Bila siap, sunyi sepi. Yang melaporkan kepada saya, kontraktor, kerana dia hendak bayaran.

Sebuah sekolah yang meminta water cooler, projek sedekah tolong segera beli dan pasangkan pada awal bulan April dulu. Dan setelah enam bulan lebih, baru saya mendapat surat penghargaan. Dari beratus orang yg datang ambil air wakaf setiap hari di depan rumah saya, purata tidak ada seorang pun yang ucap terima kasih. 

Dan banyak kes lagilah kalau nak cerita di mana beratnya mereka untuk memberi ucapan terima kasih. Saya malas nak tegur kerana bimbang mereka membuat dosa pula iaitu denga mencipta alasan dan berbohong.

Bukan saya nak sangat ucapan terima kasih, bukan saya 'kebuloq' sangat ucapan penghargaan. Tetapi saya risau dan berbimbang dengan sabda nabi.Sabda Rasulullah,

"Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia!" 
(Imam al-Bukhari dengan sanad yang sahih dalam al-Adab al-Mufrad, hadis no: 218.)

Berdasarkan hadis ini, ucapan terima kasih itu ringan pada lidah, ringkas pada kata, tetapi berat pada maksud dan kelebihannya, besar pada tanggungannya hingga dibanding dengan bersyukur kepada Allah. 

Apa guna ada ilmu melangit, apa guna hafal quran berbuih mulut, apa guna harta bertimbun jika praktik hidup Islam yang dipesan oleh nabi semudah mengucap terima kasih yang lebih ringan dari sehelai bulu ayam pun tidak dapat dibuat.

Kadang-kadang saya rasa orang bukan Islam lebih ringan lidahnya dengan 'thank you'. Kita, bagai nak terkeluar ketul emas nak mengucapkan terima kasih. Agaknya syaitan berpaut rapat pada lidah agar tidak terucap dan dengan itu tidak terlaksana sunah rasulullah dan suruhannya.

Orang bukan minta sangat ucapan terima kasih, tak harap pun tetapi nabi dah pesan, maka kena buat. Apa lagi bila disamakan dengan tidak bersyukur kepada Allah. Berat masalah ini.

Di sekolah diajar, bahkan pelajar mengucap terima kasih tidak kurang lapan kali sehari. Mengapa bila tamat sekolah, mudah lupa? Mungkin maahad tahfiz tak ada ucapan terima kasih kepada guru kot kerana diganti dengan salam. Tetapi eloklah diajar kerana ini satu sunah nabi, suruhan nabi.

Biasakanlah anak-anak mengucap terima kasih sama seperti menekankan ucapan salam. Seorang pelajar pernah menunggu untuk berjumpa saya di luar bilik ketika saya berjumpa dengan beberapa guru. Bila kami berhenti sekejap untuk memberi laluan kepadanya, dia hanya hadir untuk mengucap terima kasih kerana membenar balik awal atas permintaannya melalui guru tingkatan. Guru yang berada bersama saya merungut,

"Loo, nak ucap terima kasih saja. Ingatkan ada perkara besar."

Saya hanya senyum, cikgu ini mungkin lebih rendah fahaman agamanya dari budak ini kerana besarnya nilai ucapan terima kasih tidak dirasakannya seperti yang dirasakan oleh budak ini.

Saya sekadar mengingatkan anda, sesungguhnya tidak ada ketulan emas akan terpacul keluar dari mulut kita kerana mengucap terima kasih, tetapi ganjaran yang besar tanda kesyukuran akan kita perolehi dari ucapan tersebut atas sifat bersyukur. Basahkanlah lidah dengan mudah menyebutnya meskipun kepada perkara yang remeh. Wallahu'alam

About Cite Malaya

Powered by Blogger.