Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Alangkah tidak bertanggungjawab seorang pemandu Uber yang telah mencemarkan perkhidmatan Uber, dan tempiasnya turut terkena pada perkhidmatan Grab dan juga teksi.
Sepatutnya pemandu menghantar penumpang dengan selamat ke destinasi, tetapi lelaki ini tergamak melakukan perkara yang dilarang dan sedangkan dia sendiri juga sudah berkahwin dan yang pastinya si isteri menunggu kepulangannya di rumah dengan harapan si suami membawa pulang rezeki yang halal.
Kejadian seperti ini sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan Uber/Grab/Teksi. Semoga anda semua berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga serta segera hubungi pihak berkuasa jika berlaku kejadian yang tidak diingini.
ASSALAMUALAIKUM. Nak mohon viralkan isu baru-baru ini demi keselamatan adik, kakak, mak, makcik dan semua perempuan di luar sana.
Beberapa hari lepas terjadi dekat kawan baik saya sendiri (panggil dia S), dia dari Sarawak dan non-muslim. Selepas dikenakan gangguan seksual dari Uber driver, memandu kereta Perodua Bezza berwarna merah.
Dia keseorangan pada waktu itu dan baru nak pulang dari pusat beli belah Subang. Kejadian berlaku sekitar waktu tengah malam. Ini dialog perbualan dalam kereta sewaktu mereka dalam perjalanan yang saya masih ingat. Pada awal perbualan itu masih normal bagi Uber driver nak buka topik berbuat dengan penumpang.
Driver: "Umur berapa? camna nak sebut nama awak."
S: "24 tahun." (sambil memperbetulkan sebutan nama)
Selepas beberapa minit perjalanan, Uber driver ini macam saja-saja salah masuk jalan agar perjalanan mereka lebih lama. Sehinggalah driver ini mula tanya soalan bukan-bukan.
Driver: "Awak dah makan ke? Kalau lapar, saya bawa awak makan sekarang."
S: "Tak apa, tak payah, saya nak balik."
Driver: "Awak duduk dengan siapa. Saya ikut awak balik boleh tak?"
S: "Tak payah. Saya tinggal dengan family. Abang saya tengah tunggu saya sekarang. (S saja mereka cerita sebab mahu menjaga maklumat peribadi)
Bila sudah hampir sampai ke destinasi, S sengaja menyuruh driver drop-off jauh sikit dari apartment tempat tinggalnya kerana dia tidak mahu lelaki itu tahu di mana tempat tinggalnya. Alhamdulillah selamat sampai, itu yang paling penting.
Selepas S keluar dari kereta dan dia jalan balik ke apartment, mujurlah ada beberapa pengawal keselamatan menjaga kawasan di situ. S menerima empat panggilan tidak dijawab dari Uber driver berkenaan dan ada satu mesej darinya yang mengatakan;
"Saya bayar awak malam ini, boleh?"
Dalam erti kata lain, Uber driver itu mahu membayar S untuk 'tidur' dengannya.
Apa lagi, S balas mesej driver itu bersertakan dengan amaran. S segera membuat aduan terhadap Uber dan laporan polis agar lelaki itu ditahan dan diharamkan dari memandu atau menjadi pemandu Uber di masa akan datang.
Pada mulanya, nombor telefon S disekat oleh lelaki itu, sebab itu mesej tidak dapat dihantar kepadanya. Keesokan harinya, S menerima satu lagi mesej dari lelaki terbabit yang merayu dan meminta maaf. Tetapi nasi sudah menjadi bubur kerana aduan/laporan sudahpun dibuat dan difahamkan lelaki itu sudah berjaya ditahan.
Terima kasih kepada pihak berkuasa di atas kerjasama dan tindakan yang sangat cepat. Perlu diingatkan, mungkin S bukan mangsa pertama driver ini dan mungkin ada ramai lagi perempuan di luar sana yang sudah menjadi mangsanya. Mungkin mereka hanya mampu terdiam dan terpaku dari mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki itu.
Tolong pesan pada rakan-rakan perempuan anda semua tak kiralah adik, kakak, kawan atau teman wanita, jangan biarkan mereka naik Uber/Grab/Teksi seorang diri terutamanya pada waktu tengah malam.
Ini pesanan saya untuk drivers di luar sana. Drivers, you have one job, drive your passengers safely to their destination. Kalau nak cari jodoh, dating apps bersepah.
Pesan juga kepada kawan-kawan yang drive Uber/Grab/Taxi, tolong jangan buat onar, jangan menggatal, jangan nak mengorat. Be a professional driver, be a gentleman. Walaupun driver diam saja pun tetap akan dapat 5 stars, asalkan penumpang rasa selesa dalam perjalanan. Jangan sangka perempuan tak berani melawan. Sekian, terima kasih.
EDIT 1:
Pesanan ringkas untuk perempuan kalau ada situasi terpaksa naik Uber seorang diri, kalau boleh duduk di tempat duduk belakang. Kalau driver mencurigakan, pastikan telefon bimbit itu on atau hubungi rakan dan beri informasi mengenai kereta dan drivernya. Jangan provok driver, kerana tindakan itu boleh mengeruhkan lagi keadaan. Jangan panik dan cuba bertenang.
EDIT 2:
Sebelum ada yang menyalahkan mangsa berpakaian seksi atau freehair, peringatan sekali lagi kepada anda semua. S adalah non-muslim dan bagi lelaki sangap di luar sana, mereka dianggap 'easy target'. Disebabkan sikap dan mentaliti gemar menyalahkan perempuan inilah lelaki sanggap di luar sana berkeliaran. Kes mangsa rogol pun ada melibatkan mangsa berhijab dan berpakaian menutup aurat ya. Jadi tolong terapkan ini, apa yang kita kata itu mencerminkan diri kita yang sebenar. Buat tabiat gemar menyalahkan mangsa, buang mentaliti seksis.
EDIT 3:
Di atas permintaan isteri kepada driver ini yang saya terima melalui messenger, merayu agar gambar suaminya dibuang, maka gambar itu saya sudah buang. Anggap ini sebagai pengajaran buat masing-masing. Saya buang sebab saya kasihankan si isteri, bukan terhadap si suami. Semoga driver terbabit mendapat hidayah. Allah itu Maha Adil dan Maha Pengampun. Moga kami semua terpelihara di bawah-Nya.
Sumber: Nur Damia Azlan