Loading...
TR

'Mana-mana kenderaan termasuk motosikal tidak dibenarkan menggunakan lorong kecemasan' - JPJ


PUTRAJAYA - Bercakap mengenai lorong kecemasan, perdebatan di antara pemandu kereta atau penunggang motosikal pastinya tidak akan menemui kesudahan kerana masing-masing tidak boleh menerima hakikat dengan pandangan yang diberi. 

Baru-baru ini, komen seorang pengguna medsos dilaporkan telah mencetuskan kemarahan di kalangan penunggang motosikal hanya kerana menyatakan bahawa lorong kecemasan bukan lorong untuk golongan berkenaan. 

"Itu lorong kecemasan, bukan lorong motosikal. (Penunggang) motosikal tak ada hak nak marah kereta, full stop.

"Tak muncul lagi papan tanda dilarang melalui lorong kecemasan," tulis lelaki berkenaan yang mengulas video viral sebuah kereta dirakam menghimpit penunggang motosikal di lorong kecemasan beberapa hari lalu.



Selain tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, ada penunggang motosikal yang mempersoalkan di mana lagi lorong yang boleh dilalui oleh penunggang motosikal jika bukan lorong kecemasan?

"Dah tu, motor nak lalu mana? Lompat-lompat atas kereta ke apa?" soal mereka. 


Memetik kenyataan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman yang disiarkan mStar online menegaskan bahawa, lorong kecemasan hanya boleh digunakan oleh pihak berkuasa sekiranya berlaku hal-hal kecemasan. 

Larangan menggunakan lorong kecemasan itu bukan sahaja dikenakan terhadap kereta, malah penunggang motosikal juga dilarang berbuat demikian. 

"Mana-mana kenderaan termasuk motosikal adalah tidak dibenarkan menggunakan lorong kecemasan. 

"Pengguna jalan raya yang didapati menggunakan lorong kecemasan boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta JPJ 1987. 

"Mereka yang disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya. 

Diharapkan kenyataan dari Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman itu, dapat menamatkan perbalahan di antara kedua-dua pihak dari terus menegakkan benang yang basah. Jadilah pemandu yang berhemah, jangan salahguna lorong kecemasan.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.