Loading...
TR

'It's okay, on me. I belanja. We kan Malaysians. It's my Merdeka treat for you'


Kisahnya ringkas, namun ramai yang menyukainya. Hanya kerana McFlurry Durian, lelaki ini dapat melihat dua perkara yang amat bermakna, di samping mendapat McFlurry Durian secara percuma. Semoga kisah dari Encik Subash Chandrabose Arumugam Pillai ini memberi manfaat kepada kita semua.

Ini Cerita Hari Merdeka saya

Saya dalam perjalanan pulang ke pejabat, dari Putrajaya. Sebelum itu, saya singgah sebentar di McDonald's untuk membeli McFlurry durian selepas ternampak poster di Facebook yang mengatakan promosi McFlurry Durian telah habis. Jadi, saya ambil keputusan untuk cuba mendapatkannya atau tunggu saja keluarannya pada tahun depan. 

Yes! Saya ternampak cawangan McDonald's di Presint 2. Bahagian Drive Thru, penuh dengan kereta beratur sehingga ke jalan utama. Pastinya ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai McFlurry Durian seperti saya juga. 

Daripada menyertai barisan kereta yang panjang itu, saya letak kereta di tempat letak kereta dan ambil keputusan untuk masuk saja ke dalam premis tersebut. Saya ingat boleh jimatkan masa tetapi saya silap. Dalam McDonald's itu saja dah ada tiga barisan panjang untuk membuat pesanan masing-masing. 

Memandangkan dah terlanjur berada di situ, saya pun beratur saja seperti mereka yang lain. 

Barisan bergerak dengan perlahan dan hanya dua kakitangan sahaja yang sedang memberi layanan kepada pelanggan. Seorang sibuk memanggil nombor pesanan, manakala seorang lagi mengambil pesanan di kaunter.

Ya, kaunter. Seorang gadis Melayu dengan mukanya yang sentiasa memberi senyuman manis, mengambil pesanan pelanggan dari dua kaunter. Dia mengambil pesan dan menerima pembayaran, kemudian beralih ke kaunter sebelah untuk melayani pelanggan seterusnya. 

Ia adalah kerja yang memenatkan terutamanya bila terpaksa menghadap pelanggan yang ramai. Tetapi saya perasan, dia tetap senyum dan mengucapkan terima kasih kepada setiap pelanggannya, malah bersopan apabila mengambil pesanan pelanggan. 

Memang barisan bergerak perlahan tetapi saya tak kisah. Saya kagum dengan caranya yang mampu mengawal dua kaunter berkenaan dengan sikapnya yang tenang. 


Tiba-tiba, seorang wanita Melayu di depan saya berpaling ke belakang dan berkata,

"Awak tahu, dia sangat komited dan berdedikasi terhadap kerjanya. Saya kagum dengan cara dia menguruskan dua kaunter itu," katanya. 

"Ya, saya memerhatikan dia sejak saya masuk tadi," balas saya. 

"Saya kakitangan kerajaan dan saya boleh katakan amat jarang melihat sikap pekerja seperti ini. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka menguruskan pelanggan di bahagian Drive Thru, sementara itu menyiapkan pesanan dan buat kerja-kerja yang lain pada masa yang sama. 

"Jadi, awak nak order apa?" soalnya. 

Lalu saya menjelaskan pada dia bagaimana saya boleh berada di dalam barisan itu. 

"Oh, McFlurry Durian yang sedap itu ke?" soalnya. 

"Ya, saya mesti cuba sebelum terlambat," balas saya. 

Kemudian tiba gilirannya dan sekali lagi dia berpaling ke belakang dan bertanya. 

"Awak pasti awak hanya mahu pesan McFlurry Durian? Saya boleh order sekali untuk jimatkan masa untuk beratur," katanya. 

"Ya, cuma McFlurry Durian sahaja," lalu saya pun terus mengambil dompet untuk membayarnya semula. 

Tetapi dia enggan menerima duit yang saya cuba hulurkan kepadannya. 

"It's okay, on me. I belanja. We kan Malaysians. It's my Merdeka treat for you," katanya. 


Saya tergamam seketika. Adakah ini yang kita panggil, berbuat baik tanpa mengira bangsa? Saya benar-benar menghargai apa yang dia lakukan dan saya beritahu dia yang saya akan menulis tentang perkara ini di Facebook malam ini. 

Ia bukan tentang keterujaan mendapat makanan percuma dari seseorang tetapi niat murninya untuk memberi layanan kepada orang yang dia tidak kenali. Di kala ramai di antara kita bercakap tentang perkauman di kalangan rakyat Malaysia tetapi ada insan yang baik, yang percaya kepada kemanusiaan. Hanya ahli politik yang berniat jahat saja mewujudkan jurang di antara kita untuk agenda dan kepentingan mereka sendiri. 

Saya berasal dari Kanchong Darat, saya tahu gaya hidup kampung yang tiada bersikap perkauman. Melayu, Cina dan India, semua hidup bersama sebagai keluarga. 

Kita jarang melihat suasana perpaduan seperti ini di bandar pada hari ini. Saya melihat dua jenis manusia di tempat yang sama hari ini. Saya sangat bangga melihat mereka. Saya juga bangga memberitahu kepada semua orang bahawa saya lahir di kalangan orang-orang ini. 

Saya kembali mempunyai harapan pada Malaysia, kita boleh membina negara jauh yang lebih baik. Saya bangga lahir di sini, saya bangga menjadi anak Malaysia. Selamat hari lahir Malaysia, selamat hari merdeka. Inilah cerita merdeka saya. 

Sumber: Subash Chandrabose Arumugam Pillai

About Cite Malaya

Powered by Blogger.