Loading...
TR

Patah kaki kerana bergurau sentuh rambut rakan sekelas


SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN - Seorang pelajar tingkatan dua patah kaki kiri akibat dipukul oleh rakan sekelas yang berang dengan gurauan menyentuh rambutnya.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari di sebuah sekolah menengah di Senawang, pelajar berusia 14 tahun itu dikatakan telah mengusik rambut rakannya, menyebabkan remaja itu marah.

Menurut seorang ahli keluarga mangsa yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, mangsa memberitahu rakannya itu tiba-tiba marah dan menampar mukanya sebanyak dua kali. 

"Mangsa terkejut dengan tindakan rakannya, lalu segera memohon maaf. Namun disebabkan kemarahannya yang tidak reda, akhirnya berlaku pergaduhan di antara mereka. 

"Pergaduhan itu menyebabkan kaki kiri mangsa patah. Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah," katanya. 



Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis menerima laporan polis berhubung kejadian itu yang dibuat oleh kakak mangsa berusia 43 tahun. 

Siasatan mendapati punca pergaduhan itu berlaku kerana mangsa bergurau dengan suspek. 

"Berdasarkan laporan yang dibuat oleh kakak mangsa, adik lelakinya mengalami patah kaki akibat perbuatan salah seorang pelajar dari kelas yang sama. 

"Mangsa memberitahu, dia telah bergurau dengan seorang rakan ketika di dalam kelas. Namun gurauannya itu telah menyebabkan rakannya itu marah walaupun mangsa telahpun meminta maaf. 

"Suspek dikatakan mengangkat badan dan menjatuhkan kaki mangsa ke lantai menyebabkannya patah. 


"Pihak sekolah membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk menerima rawatan," katanya. 

Polis telah mengenal pasti suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

About Cite Malaya

Powered by Blogger.