Loading...
TR

Letih macam mana pun kita di pejabat, takkan sama dengan letih isteri uruskan rumah dan anak-anak


Kadang kala isteri saya minta izin nak pergi beli barang dapur di pasar raya. Saya kata, WhatsApp saja list barang-barang yang dimahukannya, nanti saya keluar belikan. Lagi senang, dia pun tak letih. 

Tetapi tidak lama kemudian, saya fikir semula. Saya izinkan dia keluar pergi beli barang sendiri. Maka keluarlah dia dengan anak sulung bersama. Tolak troli pasar raya beli barang. Anak yang nombor dua saya jaga di rumah. 

Tidak berapa lama kemudian, dia balik dengan wajah senyum sampai telinga. Bawa balik barang-barang dapur yang memang saya biasa beli. Bawang, biskut, telur dan lain-lain. Katanya seronok dapat keluar beli-beli barang. Dapat tolak troli dalam pasar raya itu hilangkan stress. 


Begitulah isteri kita para suami sekalian. Kadang kala kita kena raikan sifat mereka ini. Jadi isteri dengan anak-anak yang masih kecil sungguh meletihkan. Letih fizikal dan mental serta emosi. Maka kitalah para suami yang kena sentiasa menyokong. 

Kalau kita balik rumah asyik menghadap handphone dan laptop sahaja, selepas itu berfikiran kerja rumah dan anak ini kerja isteri kita, itu sangatlah silap. 

Letih macam mana pun kita kerja di pejabat, tak akan sama letih isteri kita mengurus anak-anak kecil di rumah. Itu belum termasuk nak basuh baju, memasak, menyapu sampah dan lain-lain lagi. Pernah saya jaga dua orang anak (seorang umur dekat dua tahun dan seorang lagi berumur tiga bulan) di rumah. Isteri kena pergi ke sekolah, balik tengah hari. 

Penatnya tak terkatalah. Seorang nak susu, seorang nak kena dimandikan, nak makanlah, nak dukunglah. Penat! Maka begitulah isteri kita hadapi setiap hari. 


Jadi kalau kita para suami jenis tak buat kerja rumah di rumah, tak suka bagi ruang pada isteri untuk dia raikan diri dia, anda jangan pelik jika isteri anda berperangai kasar dengan anda. Sebab dia ibarat gunung berapi yang nak meletup. Stress dan serabut dia itu ditahan-tahan. 

Jadi para suami, anda perlu letak di mindset:

1. Sepenat mana kerja kita di pejabat, tak akan dapat melawat kepenatan isteri menguruskan anak-anak dan rumah sebab mereka tiada waktu pejabat seperti kita. Mereka kerja setiap masa dan jam. 

2. Suami perlu beri 'me time' untuk isteri. Sekali sekala bawa isteri pergi bershopping. Biar dia saja beli barang dapur. Kita bagi duit. 

3. Tiada istilah tolong isteri buat kerja rumah tetapi yang betul adalah memang kita 'sedang buat kerja kita'. Kita basuh pinggan mangkuk itu sebab memang kita dah guna untuk makan. Kita basuh dan sidai baju sebab memang kita yang pakai baju itu. Kita urus anak sebab itu anak kita. 

4. Isteri kita bukan robot. Jadi banyakkan berkomunikasi dengan dia. Tidak perlu beri cadangan penyelesaian sangat pun pada apa yang mereka katakan. Cukup jadi pendengar setia sebagai tanda kita prihatin dan menyokong dia. 


Sungguh, tugas menjadi ketua keluarga ini bukan mudah. Kadang kala kita para suami ini terleka dan terlepas pandang semua ini. Maka ramai isteri yang makan hati. 

Cukuplah Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan. Baginda ketua keluarga, ketua negara dan pesuruh Allah. Baginda tidak mengeluh dan menjadikan alasan kesibukkan urusan dakwah sebagai halangan dari membuat kerja rumah. Malah bagina menyuruh kita berbuat baik kepada isteri kita. 

Sekadar perkongsian. Saya juga sedang belajar untuk menjadi suami mithali, yang masih juga ada buat kesilapan. Semoga bermanfaat.

Sumber: Ehsan Halim

About Cite Malaya

Powered by Blogger.