Loading...
TR

2 pelajar kolej cedera dibelasah 20 senior


KUALA TERENGGANU - Dua pelajar kolej vokasional di Kuala Nerus cedera selepas diserang lebih kurang 20 pelajar lain dalam kejadian di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu pada awal pagi semalam, lapor Harian Metro. 

Ahmad Zikrill Azim, 16, pelajar semester satu Jurusan Teknologi Elektronik, yang juga altet boling Terengganu, lebam di badan dan dua kali pengsan. Manakala rakannya, Wan Ahamd Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan. 

Kecederaan yang dialami oleh Ahmad Zikrill itu menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) apabila pengsan ketika disoal siasat polis berkaitan kejadian itu selepas keluarganya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, petang semalam. 

Lapor portal Harian Metro, kejadian itu berlaku di asrama sekolah kira-kira jam 1.30 pagi semalam yang ketika itu Ahmad Zikrill sedang tidur tiba-tiba diselubung dengan selimut oleh sekumpulan pelajar dipercayai pelajar senior sekolah sebelum dibelasah beramai-ramai. 

Mangsa hanya mampu meraung kesakitan dan pelajar lain yang menyaksikan kejadian itu diarahkan supaya berdiam diri dan tidak campur tangan. 




Kumpulan yang sama itu kemudian bertindak membelasah Wan Ahmad Faris yang selepas pelajar berkenaan terjaga dari tidur berikutan bunyi bising. 

Kedua-dua mangsa mendakwa mereka bukan sahaja ditumbuk dan ditendang beramai-ramai dalam keadaan muka ditutup dengan selimut, malah turut dihempap. 

Wan Ahmad Faris berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada pelajar senior terbabit tidak berpuas hati dengan mereka berdua yang tidak mahu mengikut kehendak mereka. 

"Pada mulanya mereka hanya membelasah Ahmad Zikrill, tetapi selepas terdengar bunyi bising, saya terus terjaga dari tidu dan sebaik bangun didapati mereka sedang menutup muka Ahmad Zikrill menggunakan selimut dan membelasahnya sehingga dia tidak bermaya. 

"Apabila menyedari saya sudah terjaga, mereka turut membelasah saya hingga menyebabkan saya muntah dan tidak mampu berdiri, selain mengalami kecederaan di kaki serta belakang badan," katanya. 


Ketua Polis Daerah Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, susulan kejadian itu, pihaknya telah menahan 15 pelajar kolej tersebut dan direman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan kes buli di sekolah itu.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Roszita Md Saad bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dijalankan. 

Semua suspek berusia 16 dan 17 tahun ditahan polis kira-kira jam 8 malam semalam selepas polis meminta penjaga menyerahkan anak-anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin meminta pihak sekolah melaporkan sebarang kejadian buli kepada pihak berkuasa dengan segera tanpa perlu menyembunyikan insiden yang berlaku. 

Beliau berkata, pengetua dan pihak sekolah perlu bersikap proaktif dan menyiasat sebarang kejadian pelik yang berlaku di sekolah mereka dengan serius. 

Difahamkan, kejadian dua pelajar dibelasah 20 pelajar senior itu berlaku pada jam 1.30 pagi, namun pihak sekolah hanya mengetahui kejadian itu pada jam 5 petang. 

"Bayangkan pelajar itu terpaksa menahan sakit dalam tempoh yang begitu lama. 

"Jadi saya minta semua sekolah atau kolej vokasional yang mempunyai asrama supaya menyiasat dan mengambil serius keadaan pelajar sekiranya mereka mengadu tidak sihat kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. 

"Jika ia membabitkan kes buli, kami berharap pihak sekolah juga segera melaporkan kejadian kepada polis," katanya.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.