Usianya baharu sekecil sembilan tahun, tapi kanak-kanak ini, Nadya Naori Ikeda, sudah ada keberanian untuk ‘terbang’ dari satu negara ke satu negara yang lain.
Menurut agensi berita MediaCorp Singapura, anak warga Melayu republik itu bernama Dr. Rita Zamzamah Nazeer, menaiki pesawat bagi penerbangan selama tujuh jam, dari Singapura ke Tokyo secara sendirian pada 2 April lalu.
Ini sesuatu yang jarang-jarang berlaku. Mungkin satu dalam sejuta sahaja, kerana tidak ramai ibu bapa yang berani melepaskan anak mereka yang berusia sembilan tahun ‘berjalan’ sendirian sejauh lebih 5,300 kilometer.
Ketika dihubungi Mediacorp Singapura, Nadya dengan jujur berkongsi perasaan semasa pertama kali diberitahu dia akan menaiki pesawat secara bersendirian, tanpa sebarang orang yang dikenali seperti anggota keluarganya.
“Saya rasa 50 peratus ghairah dan lagi 50 peratus gementar untuk menaiki pesawat secara seorang diri! Saya berasa agak ghairah kerana ini satu pengalaman baharu tapi saya juga khuatir jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.”
Nadya merupakan anak sulung Dr. Rita Zamzamah dan suaminya, Keita Ridhwan Ikeda, wartawan sebuah akhbar di Jepun. Anak pasangan ini memegang dua kerakyatan dan mereka berada di Singapura menziarahi sanak-saudara.
Dr. Rita Zamzamah pula ketika ini menetap di Jakarta kerana bertugas sebagai perunding cara di Pusat Sumber Miriam Budiarjo, Fakulti Sains Sosial dan Politik, Universiti Indonesia.
“Kami tinggal di Jakarta selama tiga tahun dan selepas ini kami akan menetap di Tokyo pula selama tiga tahun. Tugas suami saya memerlukan kami berpindah beberapa tahun sekali,” kata Dr. Rita Zamzamah.
Beliau menambah, Nadya yang akan memulakan pembelajaran di sebuah sekolah baharu di Tokyo, sepatutnya bertemu dengan pengetua sekolah tersebut pada 3 April.
Namun Dr. Rita Zamzamah pula kebetulan tidak dapat menemani anaknya itu ke Tokyo kerana perlu menghadiri satu mesyuarat penting di Singapura.
Maka atas saranan suaminya yang berada di Tokyo ketika itu, mereka memutuskan untuk izin Nadya terbang bersendirian di bawah program kanak-kanak bawah umur tanpa ditemani menerusi syarikat penerbangan ANA.
“Suami yang menyarankan agar Nadya terbang ke Tokyo sendirian. Suami dan saya berbincang dan bersetuju bahawa ini satu peluang baik untuk membiarkan dia cuba program kanak-kanak bawah umur yang tidak ditemani.
“Kami tahu tentang program itu tetapi sebelum ini kami berpendapat Nadya belum bersedia melakukannya,” cerita ibu dua orang anak perempuan ini kepada Mediacorp. Anak keduanya, Sofya Sayuri Ikeda, berusia dua tahun.
Dalam pada itu, mengimbas kembali pengalamannya itu, Nadya berkata perasaan takut dalam hatinya hilang semasa berada di dalam pesawat kerana dia turut dijaga dengan baik oleh anak-anak kapal pesawat ANA.
“Setiap minit mereka datang untuk memastikan saya dalam keadaan baik, bertanya apa yang mahu saya makan atau sama ada saya haus,” ujar Nadya yang bercita-cita menjadi seorang doktor haiwan.
Selain menonton filem, menulis diari dan membaca, Nadya turut berbual-bual dengan seorang penumpang wanita yang duduk bersebelahan. Dia disambut bapanya, sebaik pesawat mendarat di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
“Wanita itu orang Filipina dan dia membawa bayi perempuan. Saya tidak ingat nama bayi itu tetapi ia bermula dengan huruf A. Saya bersembang dengan beliau dan seronok dapat bermain dengan bayi itu.
“Ini pengalaman yang menarik kerana kalau saya bersama ibu bapa, biasanya saya hanya menghabiskan masa bersama adik saya dan tidak membuat kawan baru,” kongsi Nadya lagi kepada MediaCorp.
Menurut Nadya, dia menjadi yakin kerana ibu bapanya sentiasa memberitahu bahawa semuanya akan berjalan lancar dan ini merupakan satu pengalaman yang berharga buat dirinya.
“Ibu bapa kata jika pengalaman saya ini sesuatu yang bagus, saya boleh terbang solo lagi untuk ziarahi saudara-mara di Singapura pada cuti musim panas. Jika tidak, tiada apa yang rugi kerana saya tidak perlu buat lagi,” tambahnya.
Apabila ditanya sama ada dia ingin terbang secara solo lagi selepas ini, dengan penuh bersemangat Nadya berkata: “Ya! kerana saya tahu saya boleh melakukannya sendiri malahan saya sudah pun ada pengalaman.”
Detik penting hidup Nadya ini dikongsi Dr. Rita Zamzamah menerusi Facebook sambil berkata anaknya itu langsung “tidak titis air mata pun” masa dipeluk dan ‘berpisah’ dengannya serta saudara-mara di Lapangan Terbang Changi.
Sebaliknya, si ibu yang “bertarung hebat untuk tidak menangis” di hadapan anaknya itu. Hakikatnya, ini sesuatu menarik dan mengagumkan Dr. Rita Zamzamah kerana sebelum ini Nadya bukanlah seorang yang begitu berani.
“Nadya seorang lemah-lembut. Ia kekuatan tetapi juga kelemahan. Maka kami cuba bina keyakinan dirinya dan galak dia berdikari. Menaiki pesawat secara solo satu pencapaian besar bagi dirinya,” kata Dr. Rita Zamzamah.
Pastinya, siapalah yang tidak sayangkan anak sendiri. Bukan mudah juga bagi ibu bapa hendak membiarkan anak kecil mereka dapat menaiki pesawat secara bersendirian pada usia yang begitu muda.
“Pada mulanya Nadya gementar, seperti kanak-kanak lain juga! Dia tanya banyak soalan sama ada akan diculik dan apa yang harus dilakukan jika pesawat terhempas. Kami tidak memandang enteng soalan-soalan yang ditanya.
“Walaupun bunyinya seperti bukan-bukan, ia tetap keprihatinan sebenar seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun. Jadi kami jawab setiap soalan dan mengingatkannya bahawa Allah sentiasa akan bersama,” kata beliau.
Dr. Rita Zamzamah merupakan graduan lulusan dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama dan pernah menjadi pelajar terbaik NIE-NTU di Singapura pada tahun 2004, serta menjadi valediktorian kohortnya.
Meskipun beliau sendiri pun amat bimbang dengan keselamatan anaknya, Dr. Rita Zamzamah memberitahu Mediacorp bahawa beliau memastikan supaya mereka suami isteri tidak menunjukkannya kepada Nadya.
“Kanak-kanak boleh kesan perasaan sedemikian dan boleh terjejas. Saya rasa galakan positif kami membolehkan Nadya membuka minda,” tambah Dr. Rita Zamzamah yang sudahpun menyusul Nadya ke Tokyo pada 4 April lalu.
Dalam pada itu, ibu berusia 36 tahun tersebut juga memastikan pelbagai langkah keselamatan diambil supaya “Nadya tahu apa perlu dibuat jika ada berlaku keadaan tertentu yang tidak kena”.
“Kami memberikan gambaran mental tentang prosedur-prosedur yang perlu dilaluinya – dari balai berlepas di Singapura sehinggalah tiba di Tokyo dan bertemu dengan bapanya,” tambah beliau.
Nadya pula dalam pada itu memberitahu Mediacorp: “Saya tulis nombor telefon ibu bapa saya (nombor Singapura dan Jepun) dalam buku yang bawa bersama. Saya juga tulis nombor kod bagi bagasi saya.”
Mungkin, inilah yang dikatakan, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak jatuh ke nasi. Semangat yakin diri yang ada pada Dr. Rita Zamzamah dan suaminya, mungkin tertumpah kepada anaknya.
Wanita ini sebenarnya mengambil ijazah Sarjana dan PhD semasa menetap di Tokyo mengikut suaminya. Beliau berada dalam senarai dekan (Dean’s List) bagi kedua-dua kursus ijazah tersebut.
Beliau akhirnya menjadi pelajar Sarjana (MA) terbaik kohortnya di Universiti Waseda di Jepun pada 2011 – bermakna kali kedua dalam hidupnya, Dr. Rita Zamzamah menjadi valediktorian!
Beliau yang pernah menjadi guru bahasa Inggeris di sekolah Catholic High di sini dan suami yang sudah dikahwininya selama 10 tahun, malah komited membangunkan perwatakan kedua-dua anak mereka.
“Kami tidak terlalu menekankan kecemerlangan akademik kerana kami yakin jika perwatakan mereka baik, prestasi akademik juga akan baik. Kemahiran akademik juga lebih mudah untuk diajar,” kata Dr. Rita Zamzamah.
Mungkin, inilah yang boleh disifatkan sebagai asuhan atau benih yang baik, kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan kalau dicampak ke laut menjadi pulau.
The post Baru 9 Tahun Berani Terbang Sendiri Dari Singapura Ke Jepun appeared first on The Coverage Edisi BM.