Loading...
gengsensasi

'Sleep Paralysis', Misteri Ditindih Makhluk Menyeramkan Ketika Tidur

Satu bayangan hitam umpama syaitan tidak bermuka terapung berhadapan diri anda yang sedang tidur. Bayangan tersebut mengeluarkan bunyi nyaring menyeramkan yang menikam telinga.

Sleep paralysis

Tangan-tangan hantu mencekik leher seolah-olah mahu membunuh. Ketika semua ini terjadi, anda sedar tetapi langsung tidak boleh bergerak, mengeluarkan suara.

Kisah di atas bagaikan diolah semula dari sebuah filem ngeri dengan tujuan untuk menakutkan pembaca, namun ia berlaku sendiri kepada penulis yang ketika itu berusia belasan tahun.

Kini, selepas membaca berpuluh-puluh mahupun beratus-ratus kisah hampir serupa dari individu lain di serata dunia dan beberapa siri penyelidikan sendiri, barulah penulis tahu pengalaman 'kena tindih' yang dipanggil masyarakat tempatan tersebut mempunyai terma saintifiknya sendiri.

Keadaan tersebut dikenali sebagai 'sleep paralysis' yang berlaku sebelum individu memasuki fasa mimpi atau REM (rapid eye movement).

Ketika fasa tidur REM, badan kita bertindak menutup segala fungsi pergerakan dan beberapa deria untuk memastikan kita 'gagal' mengawal dan 'bertindak sesuka hati' dalam mimpi.

Tetapi ketika 'sleep paralysis', hanya minda kita tidak memasuki fasa tidur REM dan telah mencipta bayangan, bunyi dan halusinasi pelik atau ngeri.

Laporan individu di seluruh dunia mengatakan mereka seperti dicekik, ditekan di bahagian leher atau dada dengan jari, berhadapan bayangan tidak bermuka atau bermuka ngeri, bayangan duduk di atas badan atau kaki mereka, mengeluarkan bunyi nyaring yang mengerikan, selain mengeluarkan bisikan-bisikan menyeramkan seperti 'Aku akan bunuh engkau'.

Penulis sendiri pernah 'ditindih' (untuk sekalian kalinya) dan berhadapan hanya seinci dengan salah sebuah lembaga berkulit terbakar bersama lahar api mengalir seperti nanah membisikkan 'aku akan bunuh engkau' ke telinga penulis.

Bagi penulis, satu-satunya cara untuk menyedarkan badan dari kaku adalah menjerit sekuat hati.

Secara automatiknya bayangan ngeri atau hantu hilang dan fungsi badan kembali seperti sedia kala, diiringi nafas yang berat dan dalam serta berpeluh-peluh.

Tindakan yang dilakukan penulis tersebut rupanya sama dengan beratus-ratus lagi individu yang mengalami fenomena 'sleep paralysis' iaitu menjerit untuk bangun.

Selain daripada bayangan dan bunyi, pengadu 'sleep paralysis' juga mengatakan mereka 'menyedari' kehadiran entiti yang mempunyai niat jahat di dalam bilik tidur mereka ketika kejadian.

Dirasuk syaitan

Nicholas Bruno merupakan salah seorang individu yang sering 'ditindih' ketika tidur. Beliau mula melalui pengalaman menakutkan tersebut ketika berusia 15 tahun.

Ketika mula-mula mengalami 'sleep paralysis', Nicholas menyangka dirinya bagaikan 'dirasuk syaitan'.

Nicholas mula merekodkan semua pengalaman 'ditindih' dalam sebuah jurnal. Salah seorang uguru di sekolahnya pula mencadangkan Nicholas supaya merealisasikan pengalaman 'sleep paralysis' dalam bentuk seni.

Kini, Nicholas melakukan beberapa siri fotografi yang merakamkan perasaanya ketika 'sleep paralysis'.

Foto yang diambil Nicholas selalunya bermotifkan 'tidak masuk akal' dan lain dari yang lain, sama seperti apa yang dialami oleh pengadu 'sleep paralysis' di seluruh dunia.

Antara foto Nicholas menunjukkan bayangan atau lembaga yang matanya ditutupi dengan kain yang terperangkap dalam sebuah paya dan lembaga berselubung yang bersedia untuk menyerang dan mengejar mangsanya.

Menurut laporan CNN, walaupun tema foto Nicholas adalah 'dark' (gelap), tapi hobi barunya itu berjaya menyelamatkan Nicholas dari terus diselubungi ketakutan ketika mahu tidur.

"Saya rasa susah untuk berbual dengan orang lain tentang perkara ini (sleep paralysis) sebelum saya mulakan fotografi. Orang ingat saya gila," kata Nicholas dipetik laporan CNN.

Kata Nicholas, selepas foto-fotonya dimuat naik ke laman foto Instagram, ramai individu tampil dan mengaku diganggu fenomena 'sleep paralysis' dan berkongsi pengalaman mereka.

Antara foto-foto yang dimuatnaik oleh Nicholas yang mengambarkan pengalaman dan perasaan ketika 'sleep paralysis'

"Mereka yang tidak pernah mengalami 'sleep paralysis' akan kata mereka berminat untuk mengalaminya, tetapi percayalah, anda tidak akan mahu mengalaminya," jelas Nicholas.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.