BANGI, 8 Jamadilawal 1438H, Ahad – Produk bebola ikan jenama Kak Su yang berada di pasaran dipercayai bukan keluaran muslim, sebaliknya adalah keluaran pemilik bukan Islam.
Berdasarkan label bungkusan bebola ikan jenama Kak Su, ianya sama seperti bungkusan bebola ikan yang dikeluarkan Hong Seng Fish Product Sdn Bhd.
Ismaweb mendapati alamat kilang, nombor telefon pada kedua-dua bungkusan juga adalah sama.
Mengikut label, alamat kedua produk berkenaan ialah No 128A, Tingkat Bawah, Jalan Gangsa Mergong, Tepi Pemborong Pasar Ikan, 05150, Alor Setar. Manakala nombor telefonnya ialah 04-7330413.
Ismaweb cuba menghubungi nombor telefon pada plastik pembungkus bebola ikan berkenaan tetapi tiada jawapan.
Menerusi kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Facebooknya, pihaknya kini sedang membuat siasatan lanjut sejurus menerima aduan orang ramai.
Sehubungan itu, PPIM menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik peniaga bukan muslim yang menggunakan nama Islam demi kepentingan tertentu.
“Kami khuatir pengguna Islam yang mencari produk halal lagi baik sebaliknya terpedaya dengan penggunaan jenama berunsur Melayu dan Islam oleh peniaga bukan muslim,” katanya lagi.