- Pengasuh enggan panaskan susu badan si ibu, katanya geli
- Si ibu dakwa pengasuh tak beri susu pada anaknya
- Jam 6.30 petang, pengasuh masih belum mandikan anak
- Pengasuh siap pertikai mengapa si ibu balik terlalu awal
- Si ibu buntu, bayar RM400 tetapi pengasuh beri perkhidmatan kurang memuaskan
Dari Info Ibu Hamil
Salam, saya cuma mahu bertanya dan meluah luahan hati seorang ibu muda. Anak saya baru berusia 3 bulan, saya campur breastfeeding dengan susu formula. Saya terpaksa berikan susu formula sebab pengasuh tak nak panaskan susu saya atas alasan geli, katanya.
Bila hantar anak kepada pengasuh, pengasuh minta saya belikan puting (kosong). Katanya anak saya kuat menyusu dan kalau ada puting, anak tidur lama sikit. Saya akur dan belikan saja puting bagi memudahkan kerja pengasuh.
Hari pertama guna puting, saya pergi ambil anak, anak saya diam saja. Bila sampai rumah, baru nak letak, anak menangis seperti kena dera. Jadi saya pun beri susu badan, dia hisap semahu-mahunya. Cara dia hisap seperti lapar sangat.
Saya mesej dan tanya pada pengasuh mengenai kelakuan anak saya itu. Pengasuh kata dia beri susu seperti biasa. Saya enggan bersangka buruk pada awalnya tetapi entahlah, naluri saya kuat mengatakan pengasuh tak bagi susu dan kalau anak saya menangis, mungkin dia sumbat puting saja.
Lagi satu, saya memang mandikan anak dulu sebelum dihantar kepada pengasuh. Kiranya saya hantar anak dalam keadaan bersih dan wangi, pampers sudah ditukar, susu dah diberikan. Itu semua saya lakukan bagi memudahkan pengasuh dan dia pun senang hati nak menjaga anak saya.
Tetapi minggu lepas, ketika saya ambil anak dalam jam 6.30 petang, dia tak mandikan anak saya lagi. Siap bertanya kenapa saya balik awal sangat, selalu ambil jam 7 petang, jadi anak saya tak dimandikan, pampers penuh. Masa itu, anak hisap puting dan saya cabut di depan pengasuh. Apa lagi, anak terus menangis.
Saya tanya pengasuh, anak saya dah minum susu ke belum? Pengasuh pula kata anak saya saja nak menangis di depan ibunya dan mengakui telah memberi susu pada anak jam 6 petang tadi.
Dalam kereta, anak saya menangis. Saya beri susu badan sambil saya pun menangis sebab sedih sangat bila pengasuh buat anak saya begini. Suami diam saja sebab dia pun sebak mendengar tangisan anak yang tengah lapar dan tak selesa dengan pampers yang penuh.
Saya bayar pengasuh RM400, hantar jam 7 pagi - 7 malam (paling lewat ambil anak pulang). Kalau weekend hantar anak, pengasuh kenakan caj RM5 sejam.
Pengasuh buat anak saya begini sebab bayaran saya terlalu sikit ke? Dia jaga dua orang budak termasuk anak saya. Yang seorang lagi berusia tiga tahun. Nak cari pengasuh lain, ambil masa. Esok saya bawa anak ke pejabat dan beritahu pengasuh yang saya cuti untuk jaga anak. Saya ada terfikir nak berhenti kerja, tetapi kerja saya kontrak. Kalau berhenti sebelum tarikh tamat kontrak, saya kena bayar ganti rugi pada syarikat.