Oleh Taufiq Razif
Balik ke rumah, mesti isteri cerita macam-macam tentang kes yang dia handle setiap hari di Bahagian Kecemasan. Walaupun dia seorang doktor, tetapi dia tak dapat nak hadam sangat bab kes pedofilia sebab perkara ini sebenarnya perkara di luar akal logik manusia normal.
Isteri saya banyak handle kes hamil anak luar nikah saja. Yang hamil itu pula bukan orang dewasa, kebanyakan baru berusia 16 dan 17 tahun. Biasanya budak yang mengandung ini kenal teman lelaki mereka melalui aplikasi WeChat. Saya pun tak tahu sangat kenapa WeChat ini menjadi tempat mereka bersosial. Cuma yang saya tahu, dari WeChat ini kita boleh berkenalan dengan orang di sekeliling dan yang berdekatan dengan tempat tinggal kita.
Jadi saya pesan sangat-sangat pada ibu bapa, tolong pantau gajet anak anda. Please!
Baru-baru ini pun, viral kisah seorang lelaki pedofil yang tidak dikenali cuba menggoda seorang budak lelaki berumur 10 tahun melalui WeChat di telefon bimbit budak itu. Budak bernama Aiman ini pula memang jenis suci tak tahu apa-apa, maka dia pun layankan saja. Yang lelaki ini pula minta gambar bogel budak itu walaupun dia tahu budak itu baru berumur 10 tahun. Siap kata nak bagi PSP lagi kalau budak ini beri gambar kemaluannya.
Alhamdulillah ibunya sedar ada chat pelik di telefon bimbit anaknya.
Kes pedofilia seperti ini sebenarnya sudah lama ada di Malaysia. Cuma mereka yang terlibat ini sangat susah dikesan kerana mereka pandai menyorok dari pihak berkuasa. Contohnya kes Richard Huckle tahun lalu, dia antara pedofil terdahsyat dalam sejarah Britain.
Dia pernah masuk ke Malaysia sebagai sukarelawan dan dilaporkan telah meratah 200 orang kanak-kanak termasuk kanak-kanak di Malaysia. Kebanyakan mangsanya baru berumur 6 bulan sehingga 12 tahun. Gila, kan?
Laman web lucah mereka pula biasanya tidak dapat diakses oleh orang awam. Hanya orang-orang tertentu dari kumpulan mereka sahaja yang boleh masuk. Sebelum ini kecoh satu negara bila gambar anak Harith Iskander dan gambar anak Tomok masuk dalam laman web lucah kanak-kanak tetapi semuanya kembali diam dan seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Saya ada rahsia nak beritahu anda semua, ada cara nak mengecam orang pedofil ini. Biasanya orang pedofil ini sangat pandai menjaga rahsianya. Mereka kelihatan seperti warak dan baik, nampak penyayang dengan budak-budak, selalu belikan gula-gula dan hadiah dan pandai memujuk mereka. Tanpa kita sedar, mungkin mereka sedang menghidap penyakit mental sukakan kanak-kanak yang belum baligh.
Sebab itu sebagai ibu bapa, kita kena tahu tips ini:
- Beritahu anak, tiada sesiapa yang boleh sentuh bahagian kemaluan mereka walaupun orang terdekat dalam keluarga.
- Biasakan dengar mereka mengadu dan tunjukkan yang kita ambil berat dengan aduan mereka walaupun untuk perkara-perkara kecil.
- Ajar anak untuk berkata TIDAK jika ada orang lain yang meminta mereka buat perkara yang aneh dan menyakiti mereka.
- Jangan marah anak jika mereka bertanya perkara yang bagi kita agak lucah kerana ada kemungkinan mereka sedang dipengaruhi oleh pedofil.
- Jangan ambil ringan kalau anak selalu mengadu sakit di bahagian perut ataupun kemaluan.
- Jangan muat naik gambar anak kita berpakaian seksi walaupun mereka masih kanak-kanak. Memang ada laman web lucah kanak-kanak yang suak mencari gambar kanak-kanak seksi untuk menjadi bahan tatapan dan perbincangan mereka. Richard Huckle sendiri menyimpan 20,000 gambar kanak-kanak sebagai koleksi.
- Pastikan telefon bimbit anak kita jenis yang tiada aplikasi seperti WhatsApp, WeChat dan yang sewaktu dengannya. Cukuplah telefon bimbit itu hanya boleh sms dan buat panggilan biasa.
- Kalau anak nak guna juga internet dan aplikasi yang lain, pastikan kita sudah install aplikasi untuk pantau aktiviti mereka di telefon bimbit itu. Contoh aplikasi yang anda boleh muat turun di Google Play dan App Store ialah, Kids Place, Abeona, Screen Time Parental Control dan Parental Control Board
Saya mohon sangat-sangat ibu bapa amalkan tips yang saya kongsikan di atas sebagai langkah berjaga-jaga. Jika mengikut Diagnostic dan Statiscal Manual of Mental Disorders (DSM-5) pun pedofilia ini termasuk dalam kategori Paraphilia. Sejenis bentuk penyimpangan seksual.
Jangan pelik bila ada orang yang berkahwin dengan patung, yang suka mengintai orang, suka curi seluar dalam orang sebab semua ini termasuk dalam kategori Paraphilia, sejenis penyakit mental.
Minta sangat-sangat ibu bapa di luar sana untuk sebarkan Talian Kasih 15999 yang diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Kalau ada kes seperti ini berlaku, sila hubungi nombor berkenaan.
Mungkin ada beribu lagi kes pedofilia di luar sana sedang berlaku tetapi mungkin kerana kurangnya pendedahan dan tidak tahu nak mengadu kepada siapa, akhirnya mangsa dan keluarga mendiamkan diri saja.
Perkara ini boleh berlaku pada ahli keluarga kita dan anak-anak kita tanpa sedar sebab kita tak ambil berat pun tentang kes pedofilia ini. Jangan ingat pedofilia ini suka rogol saja, ada juga yang jenis dera dulu sebelum rogol. Ada juga yang jenis rogol dulu sebelum membunuh.
Sebarkanlah mesej ini kepada seluruh rakyat Malaysia.