Loading...
gengsensasi

Coklat Daim Dan Toblerone Disahkan Tiada Logo Halal Jakim

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan coklat Daim dan Toblerone bukan pemegang status logo dan sijil halal.

Coklat

Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal dalam satu kenyataan terbaharu berkata, coklat tersebut bukanlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

“Jadi, sebagai pengguna perlulah bijak membeli produk yang mempunyai logo halal Malaysia atau logo halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

“Untuk mengetahui produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia serta badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim boleh layari www.halal.gov.my,” katanya.

Bagi sebarang kemusykilan dan penjelasan berkenaan isu-isu halal yang viral boleh layari laman Facebook Bahagian Hab Halal, Jakim.

Coklat Jenama Kit Kat Mengandungi Alkohol

17 Disember lalu, Jakim memperjelaskan coklat jenama Kit Kat keluaran Nestle yang didakwa mengandungi alkohol memang wujud dan terdapat di pasaran, namun bukan di pasaran dan dikilangkan di Malaysia sepertimana yang diviralkan di media sosial.

Jakim tidak akan mengeluarkan pengesahan halal untuk produk yang jelas menggunakan alkohol.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa produk jenama Nestle yang dikilangkan di Malaysia mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah,” katanya lagi.

Kemaskini (27/12/2016)

Mondelēz tegaskan Toblerone, Daim selamat dimakan

Syarikat Mondelēz International yang mengeluarkan produk coklat Toblerone dan Daim menegaskan bahawa produk keluaran mereka sesuai dan selamat dimakan oleh orang Islam.

Dalam satu kenyataan rasmi syarikat itu mendakwa bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah mengeluarkan penjelasan mengenai isu terbabit.

“Pihak Jakim telah menjelaskan bahawa produk makanan yang bukan pemegang sijil halal tidak boleh dianggap halal atau haram.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan dan mengeluarkan coklat Toblerone dan Daim adalah sesuai untuk dimakan orang Islam,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Jakim telah memperjelaskan status halal coklat Daim dan Toblerone di mana Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal dalam satu kenyataan berkata, coklat tersebut bukanlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

Menurutnya lagi, pihak mereka juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh pasaran tempatan dalam memastikan produk tersebut memenuhi keperluan pengguna.

“Sekali lagi kami ingin tegaskan bahawa walaupun kedua-dua coklat itu dihasilkan di negara-negara yang tidak memerlukan pensijilan halal, produk kami tetap memenuhi piawaian pemakanan pengguna di seluruh dunia.

“Semua maklumat mengenai bahan-bahan coklat tersebut ada tertera dan pengguna dinasihatkan agar merujuk pada pek bungkusan,” katanya lagi.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.