بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Khutbah Jumaat: “Virus Syiah”
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقاَئِل:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ.
أَشْهَدُ أَن لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! إتَّقُوْا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ..
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: “VIRUS SYIAH”.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai ajaran Syiah pada tahun 1996 telah menetapkan bahawa:
Pertama: Umat Islam di negara ini hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Kedua: Memperakukan pindaan kepada semua undang-undang negeri yang berhubung dengan hukum syarak bagi menyelaraskan takrif hukum syarak atau undang undang Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Penetapan dasar ini selaras dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan objektif pertama adalah memelihara agama,
Dalam konteks sebuah negara, mimbar ingin menyatakan sememangnya tanggungjawab memelihara keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Justeru, sebagai umat Islam di negara ini yang berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita seharusnya memahami penetapan mazhab ini sebagai mazhab rasmi negara adalah bertujuan untuk memastikan kesucian akidah dan syariah Islam dapat dipertahankan, dibela dan dipelihara dan ianya tidak sekali kali untuk menindas pihak yang lain.
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Yakin dan percayalah bahawa asas segala akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaanNya dan kepercayaan diatas kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik baik secara i’tiqad atau tingkahlaku. Hanya Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّـهِ فَإِنَّ اللَّـهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ ﴿١٩﴾
Bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.”
.
Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali Imran ayat 85:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾
Bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.”
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Namun, di akhir-akhir ini kita dapati ajaran Syiah yang dibawa masuk ke Nusantara semakin berkembang di negara kita. Ajaran Syiah yang bertapak di Malaysia adalah ajaran Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Ja’fariyyah). Fahaman Syiah ini semakin meruncing apabila ada dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan berlatarbelakang agama telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman ini secara serius terutama kepada para pelajar di universiti dan menular kepada masyarakat awam. Banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh golongan ini yang menyentuh samada dari sudut akidah, syariah dan kepentingan umum.
Mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa gerakan mereka berlaku terutamanya dengan penyebaran kitab-kitab utama Syiah dalam Bahasa Melayu ke seluruh pelusuk tempat di negara kita. Ini bermakna dakyah Syiah kini disebarkan oleh warganegara Malaysia berbangsa Melayu, hasil daripada mereka yang melanjutkan pelajaran ke negara yang berfahaman dengan Syiah.
Antara pegangan akidah yang dipegang oleh penganut Syiah di negara kita ialah:
Pertama: Mendakwa imamah sebagai rukun Islam yang pertama dan termasuk dalam perkara Usuluddin.
Kedua: Menafikan kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman.
Ketiga: Mengkafir dan memfasikkan para sahabat.
Keempat: Mendakwa bahawa al-Quran telah diubah.
Kelima: Berdoa supaya dihapuskan penentang Syiah termasuk pihak berkuasa, Keenam: Mengharuskan perbuatan meliwat.
Ketujuh: Menyambut Hari Karbala pada setiap 10 Muharam.
Kelapan: Mempertahan amalan nikah mutaah,
Kesembilan: Mempertikai kesahihan dan keutuhan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaahو
Kesepuluh: Mendakwa Syiah adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar dan mencabar pihak berkuasa.
Justeru, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang diadakan pada 2 dan 3 Mei tahun 1996 di Langkawi, Kedah, telah membuat keputusan bagi mengharamkan ajaran Syiah di Malaysia dan menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah samada dari segi aqidah, syariat dan akhlak.
Lihatlah, jika di zaman masyarakat Islam yang sebahagian besarnya dididik oleh Rasulullah SAW sendiri, yang di kala itu masih ramai orang yang teguh iman dan keyakinannya, racun-racun yang disemburkan oleh Syiah itu telah dapat juga melemahkan sebahagian masyarakat Islam sehingga menimbulkan huru hara yang berpanjangan.
Bayangkanlah,.bagaimana agaknya jika racun-racun yang berbisa itu disemburkan kepada masyarakat Islam terutamanya kepada orang yang lemah akidahnya, cetek pengetahuannya tentang ajaran Islam yang sempurna.tentu sekali dalam masa yang singkat sahaja akan membawa kehancuran yang sangat besar terutamanya kepada umat Islam dan negara.
Oleh itu, mimbar menyeru kepada semua umat Islam agar sentiasa berwaspada dan bersedia mempertahankan kesucian akidah Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pencemaran yang boleh menggugat akidah umat Islam, perpaduan ummah dan keharmonian hidup yang selama ini berpegang teguh dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Sedarlah bahawa perbezaan fikrah atau aliran pemikiran yang bertentangan dengan prinsip akidah dan syariah boleh menyebabkan perkelahian dan permusuhan sesama kita, Bukankah kita pernah membaca ayat al-Quran yang menceritakan tentang perkelahian antara adik-beradik iaitu Nabi Musa dan abangnya Nabi Harun AS akibat perbezaan aliran pemikiran. Firman Allah SWT di dalam surah Tahaa ayat 92-94:
قَالَ يَا هَارُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوا ﴿٩٢﴾ أَلَّا تَتَّبِعَنِ ۖ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي ﴿٩٣﴾ قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي وَلَا بِرَأْسِي ۖ إِنِّي خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي ﴿٩٤﴾
Bermaksud: “Sekembalinya Nabi Musa berkata: Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka telah sesat. Apakah engkau tidak mengikut aku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku? Nabi Harun menjawab: Wahai anak ibuku! Janganlah engkau merenggut janggutku dan janganlah menarik rambut kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata: Engkau telah memecah belahkan Bani Israil dan engkau tidak mengambil berat pesananku.”
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mimbar yang mulia ini menyeru umat Islam sekalian marilah sama-sama kita mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk membendung gejala penyebaran ajaran Syiah di tempat kita sebelum menjadi lebih parah. Waspadalah kita kerana virus-virus syiah ini sudah mula meresap ke dalam aliran fikiran dan telah merebak ke dalam jiwa segelintir umat Islam di negara ini sehinggakan mereka sanggup menjadi penyebar dan pendokong Syiah dan sedang berusaha untuk meracuni umat Islam melalui pelbagai gerakan yang tersembunyi.
Maka, setiap daripada kita seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah “cegah sebelum parah”. Sebagai umat Islam kita berkewajipan membuat laporan kepada pihak berkuasa agama di tempat masing-masing jika mengsyaki, menyedari atau melihat sendiri terdapat mana-mana pihak yang berusaha menyebar ajaran Syiah yang sesat ini.
Ingatlah bahawa sebarang usaha ke arah membendung ajaran sebegini adalah termasuk dalam ertikata “jihad” kerana mempertahankan kesucian ajaran agama yang diwarisi dari junjungan Nabi kita Muhammad SAW manakala sebarang usaha yang cuba menghidupkan fitnah dengan menyebarkan ajaran Syiah adalah termasuk di dalam perbuatan sesat lagi menyesatkan. Inilah masanya.kita mesti bangun dengan penuh keberanian dan bersatu dalam satu saf, satu barisan, satu akidah, satu niat serta tekad untuk memelihara kesucian akidah.
Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
Bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
.
.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang jumaat dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mendokong segala usaha demi memperkasa akidah umat Islam. Ingatlah bahawa negara kita terkenal dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak zaman berzaman sehingga masa kini. Ternyata disebabkan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah di kalangan Umat Islam maka, perpaduan Umat Islam di Malaysia dan rantau Alam Melayu terus berkedudukan aman dan makmur, tanpa berlakunya pertumpahan darah sejak berabad yang lalu.
Oleh yang demikian, sebarang usaha ke arah penyimpangan daripada ajaran tersebut akan membawa kepada perpecahan dan bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan menghancurkan Islam dan menyebabkan mudah di tawan oleh musuh Islam. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengembalikan diri kita kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT. Akhir sekali marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 136:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّـهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا ﴿١٣٦﴾
Bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
.
بَارَكَ اللَّهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَعْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Virus Syiah”
(29 November 2013 / 25 Muharam 1435H)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
via Bin Usrah