GEORGIA, AMERIKA SYARIKAT - Seorang perompak bersenjata ditembak mati ketika cuba merompak sebuah kedai senjata dalam kejadian jam 11 pagi, 26 Disember 2016, lapor Daily Mail.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis Dixie Gun and Pawn di Mableton menunjukkan, dua penjenayah yang memakai topeng ski masuk dan mengacukan senjata pada kakitangan kedai tersebut.
Pekerja itu lantas mengangkat kedua-dua belah tangannya dan meminta agar dua perompak terbabit tidak mengapa-apakan mereka sebelum pemilik kedai melepaskan beberapa das tembakan.
Jimmy Groover, 64, segera mencapai pistolnya dan menembak mati salah seorang perompak berkenaan, manakala rakannya berjaya melarikan diri.
Menurut Groover, dia tidak mempunyai pilihan dan terus menembak lelaki itu yang membahaya dua pelanggan dan pekerja serta dirinya pada ketika itu.
"Saya tiada pilihan. Saya benci bila kejadian seperti ini berlaku. Sudah 30 tahun saya menjalankan perniagaan ini, tidak pernah perkara seperti ini berlaku.
"Saya juga tidak kejadian ini berlaku tetapi saya juga mahu pulang ke rumah pada waktu malam," katanya.
Difahamkan, tiada sebarang pendakwaan yang dikenakan terhadap Groover. Tidak dapat dikenal pasti sama ada polis berjaya menangkap seorang lagi rakan suspek. - The Reporter