Loading...
gengsensasi

Pernah terjadi kes pesakit lumpuh dan maut selepas diurut - Doktor

Cuti hujung tahun yang lalu, kami berkesempatan pergi berurut di sebuah SPA yang menawarkan harga mampu bayar. Alangkah leganya dapat diurut oleh tukang urut yang berpengalaman, habis kendur segala otot-otot yang tegang. Maklumlah setahun sekali berurut. 

Baru-baru ini, terbaca pula perkongsian ilmu dari Doktor Hana Hadzrami yang menyatakan risiko berurut yang kita semua perlu tahu. Seram juga baca, mujur tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku ketika berurut tempoh hari. 

Gambar hiasan | Google Images
Oleh Doktor Hana Hadzrami

Baru-baru ini, ada kes patah tulang belakang setelah pesakit menjalani urutan belakang oleh tukang urut. Sangkanya, bunyi 'krakk' itu kerana kedudukan tulang sudah diperbetulkan, rupa-rupanya patah terus. Bukan setakat patah, malah lumpuh kedua-dua belah kakinya. 

Urut nampak seperti prosedur biasa yang tidak berbahaya. Tetapi bagi pesakit yang berisiko tulang rapuh atau urutan di kawasan sensitif, ia boleh mendatangkan bahaya. 

Bukan pertama kali urut berakhir dengan kecacatan, malah ada kes kematian juga. Pernah seorang lelaki tua pengsan, sehari selepas menjalani deep tissue massage. Rupa-rupanya sel tisu ototnya sudah pecah (rhabdomyolysis) dan menyumbat buah pinggangnya menyebabkan jantung terhenti. Apabila masuk ke ICU, buah pinggangnya rosak teruk dan darahnya beracun. Mangsa meninggal dunia tidak lama selepas itu. 

Baru-baru ini, seorang pesakit kami yang juga pesakit buah pinggang pergi berurut dengan chiropractor. Selepas diurut, sakit belakangnya bertambah kuat. Daripada boleh berjalan, terus lemah kedua-dua belah kakinya. Rupa-rupanya tulang belakangnya yang ada osteoporosis (reput tulang) sudah patah lalu menekan saraf, membuatkannya lumpuh selama-lamanya. 

Punyalah kuat tenaga si tukang urut sampai otot boleh pecah dan tulang pun boleh patah. 

Leher adalah kawasan yang sensitif kerana terdapat banyak salur darah utama dan saraf besar di kawasan tersebut. Sebaiknya elakkan berurut di kawasan ini. 

Dulu ada kes di mana seorang perempuan berumur pengsan beberapa kemudian selepas menjalani urutan di leher. Rupa-rupanya urutan tersebut telah membebaskan plak di arteri karotid leher lalu menyebabkan thrombosis pada salur darah otaknya. Teruk stroke yang dialaminya. Selepas sembuh, mangsa hanya mampu terlantar. 

Orang muda yang sihat juga tidak terlepas. Pernah seorang perempuan muda mengalami muntah teruk, diikuti tidak mampu bercakap dan lumpuh sebelah badan selepas menggunakan alat urut elektronik di lehernya.

Akibat urutan mesin itu, arteri karotidnya telah terkoyak dan bocor (dissected). Rupa-rupanya otaknya kekurangan oksigen (ischaemic stroke) akibat kurang pengaliran darah. 

Tukang urut yang baik juga akan mendapatkan maklumat perubatan anda terlebih dahulu sebelum menyentuh anda. Berjaga-jagalah dengan tukang urut yang cenderung bercakap besar kononnya mampu memulihkan semua perkara. 

Bukan semua orang sesuai untuk diurut dan bukan semua tukar urut ada ilmu mengurut. - Doktor Hana Hadzrami

About Cite Malaya

Powered by Blogger.