Kisah ini bagi penulis cukup membuai jiwa. Beruntungnya Syarmila memiliki cinta sesuci Adam yang begitu ikhlas dan jujur terhadap dirinya. Sesungguhnya Syarmila berhak untuk menikmati kebahagiaan selepas jenuh melalui keperitan hidup.
Kurniakan aku MASJID yang sempurna
Dengan jodoh yang baik-baik
Penuhi pertemuan kami dengan iman, nur dan rahmat darimu Ya Allah
Moga jodoh kami buatkan kami dekat padamu Ya Allah
Moga jodoh kami buatkan syurga jadi naungan buat kami berdua
Ubah Nasib
Aku berasal dari keluarga yang berantakan. Sejak kecil lagi aku sudah belajar berdikari. Ibu dan bapaku masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Aku membesar bersama nenek di kampung. Meskipun aku tidak merasai kasih sayang daripada kedua ibu bapaku, kasih sayang yang dicurahkan oleh nenek sudah cukup untuk membuatkan aku bahagia, cumanya nenekku bukanlah orang senang. Jadi, aku perlu sedar diri dan tidak meminta-minta kerana aku maklum kemampuan nenek setakat mana.
lass="separator" style="clear: both;"> Demi meneruskan kelangsungan hidup, aku membantu nenek berniaga nasi lemak dan kuih muih setiap petang di kawasan kampungku. Sebelah pagi, aku pergi ke sekolah seperti biasa. Aku berjanji pada diriku yang aku ingin mengubah nasib diri selain ingin membela nasib nenek. Aku selalu berdoa moga-moga Allah panjangkan usia nenek untuk melihat aku berjaya.
Seperti pelajar-pelajar yang lain, sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku telah membuat persediaan sebaik mungkin. Aku mahu mendapatkan keputusan yang terbaik bagi membolehkan aku melanjutkan pelajaran ke universiti. Itulah janji yang terpateri kerana aku tidak mahu terus-terusan melihat nenek hidup susah dan terpinggir lagi.
Masih Ada yang Sayang
Mungkin sudah nasib anak terbuang sepertiku, walau keputusan peperiksaan SPM aku cemerlang, tetapi dek disebabkan halangan dari segi kewangan, aku terpaksa melupakan hasrat untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Keadaan menjadi lebih buruk apabila nenekku jatuh sakit. Tidak sanggup aku meninggalkan nenek keseorangan. Biarlah… mungkin belum rezekiku untuk belajar di sana, pujuk hatiku.
Namun, dalam kesedihan aku sama sekali tidak menyangka masih ada orang yang bersimpati dengan diriku. Lelaki yang ‘menghulurkan tangan’ membantu aku pada saat aku memerlukan bantuan itu bernama Adam. Dia merupakan pelanggan setia di gerai usang milik nenek dan dia juga yang sentiasa bertanya perkembangan pelajaranku. Menyedari aku sangat memerlukan bantuan kewangan untuk belajar ke universiti, aku telah ditawarkan untuk bekerja di syarikat percetakan milik keluarga Adam.
Adam jugalah yang mencadangkan aku agar mengikuti pengajian secara sambilan memandangkan aku perlu bekerja bukan sahaja untuk menyara pengajian diriku, tetapi juga menyara nenek yang semakin uzur. Nenek tidak mampu lagi berniaga nasi lemak kerana kedua-dua belah kakinya tidak kuat lagi untuk berdiri.
Dambaan Kekasih Halal
Bekerja di syarikat milik keluarga Adam membuatkan hubungan aku dengan Adam bertambah rapat. Adam banyak memberi galakan dan dorongan untuk aku belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-citaku. Dalam masa yang sama juga Adam ada menyuarakan hasrat untuk menyuntingku menjadi suri hidupnya.
Aku terharu dengan ‘penghormatan’ yang diberikan oleh Adam. Ternyata, Adam seorang lelaki yang tidak pernah mengambil kesempatan ke atas diriku. Dia cuma mahu aku menamatkan pengajian dengan memperoleh keputusan yang cemerlang. Sungguhpun aku bergelar pelajar dan dia bekerja sepenuh masa, namun ia bukan halangan untuk kami meneruskan hubungan. Lagi pun, aku dapat merasakan yang cinta Adam cinta yang suci. Kami tidak pernah keluar berdua. Masa untuk kami bersua muka hanyalah ketika kami bekerja. Itu pun atas urusan kerja.
Menurut Adam, dia mahu perhubungan cinta kami berdasarkan cinta mengikut syariat. Ia lebih baik dan manis berbanding cinta zaman moden yang kebanyakannya berlandaskan nafsu. Alhamdulillah, pengajianku hanya berbaki satu semester lagi. Moga usahaku untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang menjadi kenyataan. Buat Adam dan juga nenek, terima kasih kerana sentiasa menyuntik semangat untuk aku berusaha bersungguh-sungguh. Sesungguhnya cinta yang bertunjangkan syariat itu sentiasa dipelihara oleh Allah SWT.
Sumber gambar: Nur Ilham Saiful Azhar
via Bin Usrah