Loading...
gengsensasi

KSU KKLW & 2 anaknya direman 7 hari, jongkong emas & wang tunai RM3 juta dirampas


PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan dua anak lelakinya ditahan reman selama tujuh hari bermula jam 9.40 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa jawatan dan kedudukan dengan menerima rasuah. 

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini sehingga 11 Januari ini. 

Terdahulu, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret pada jam 9.40 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga, diiringi pegawai SPRM sambil menutup muka masing-masing dengan baju. 

Datuk Mohd Arif Ab Rahman, 59, dan anak lelakinya, 29, ditahan di kediamannya di Subang Jaya, Selangor, jam 8 pagi semalam ketika mahu keluar ke pejabat. Sementara seorang lagi anak lelakinya berusia 34 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM semasa diambil keterangan. 

Difahamkan bahawa keterangan isteri Mohd Arif yang berusia 57 tahun juga telah direkodkan, begitu juga anak perempuannya yang berusia 32 tahun dan seorang lagi anak lelakinya berusia 34 tahun. Pasangan itu mempunyai enam orang anak.

Hasil pemeriksaan selama 12 jam di rumah suspek, SPRM telah merampas dan menyita wang tunai (matawang Australia) serta jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta. Turut dirampas, 150 beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama.

Selain itu, SPRM turut merampas sejumlah dokumen daripada peguam suspek di pejabatnya di Puchong yang dipercayai dapat membantu siasatan. 

Anak lelaki suspek ditahan kerana dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan. 

Siasatan awal SPRM mendapati, suspek yang juga ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), telah ke luar negara baru-baru ini dan bermain golf. SPRM kini sedang menyiasat jika perjalanan dan perbelanjaan suspek dibiayai oleh individu tertentu. 

Mohd Arif telah dilantik memegang jawatan dalam kementerian pada 16 Oktober 2015. Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha di kementerian lain dan pernah menjadi timbalan ketua setiausaha dan pegawai kewangan negeri. Beliau menyertai perkhidmatan awam pada 1981 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Beliau adalah graduan Universiti Malaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. - The Reporter

About Cite Malaya

Powered by Blogger.
KLIK LIKE DAN [X] UNTUK BACA ARTIKEL Button Close