بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
.
Dikisahkan ketika Abdullah bin Ubai bin Salul seorang tokoh kaum munafik sedang berehat-rehat bagi melepaskan penat lelahnya, istirehat Ibnu Salul tiba-tiba telah terganggu disebabkan oleh penjaga rumah mengetuk pintu.
Ibnu Salul terpaksa bangun dan melihat penjaga bermuka sedih di hadapannya. Di tangan penjaga itu ada segenggam wang. Wang tersebut adalah hasil kerja pegawainya, tetapi Ibnu Salul kecewa kerana wang itu jumlahnya tidak seperti yang diharapkan.
“Sesungguhnya, wang sebanyak ini adalah hasil kerja setengah hari bukan hasil kerja sehari penuh …” ujar Ibnu Salul berang.
Tidak ingin dituduh menggelapkan wang, maka penjaga rumah itu terus mencelah, “Tahukah tuan, kenapa penghasilan tuan sekarang ini menurun?”
“Ya, aku tahu! Semua ini gara-gara Muhammad telah merampas kedudukanku. Ia menjadikan orang-orang menjauhi hamba-hamba wanitaku lantaran daripada mereka terpengaruh ajaran-ajaran yang diserukan oleh Muhammad.” Serentak itu, Ibnu Salul mendengar suara orang memanggil namanya.
Ia kemudian menyuruh penjaga rumahnya untuk melihat siapa yang datang dan penjaga rumah cepat-cepat keluar. Sebaik keluar daripada bilik, penjaga rumah mendapati bahawa beberapa orang daripada Bani Tamim yang berkunjung ke Madinah.
Penjaga rumah sudah mengenali mereka, yang tidak lain adalah para pembesar daripada Bani Tamim yang selalu menginap beberapa hari di tempat Ibnu Salul untuk bersenang-senang setiap kali mereka kembali daripada berdagang atau perjalanan daripada Syam.
“Di manakah tuanmu, Ibnu Salul?” Tanya salah seorang daripada mereka.
“Ada di dalam …” jawab penjaga rumah.
Tiada rasa canggung, para pembesar Bani Tamim itu kemudian masuk. Ibnu Salul cepat-cepat menyembunyikan wang ke dalam bilik, lalu besegera keluar untuk menemui mereka. Ibnu Salul menyambut dengan hormat dan mereka pun membalas.
“Manakah perempuan yang dulu pernah kamu hantar untuk kami?” Tanya seorang lelaki di antara para pembesar Bani Tamim itu.
“Perempuan yang mana, ya? Mereka itu ramai ….,” jawab Ibnu Salul.
“Budak perempuan kamu yang paling cantik!”
“Apakah dia itu Masikah?” Tanya Ibnu Salul.
“Ya, dia! Tidak salah lagi …” jawab seorang lelaki, dengan riang.
“Nanti akan kami hantarkan dia untuk kamu semua bersama yang lain jika mereka mahu …”
“Cepatlah, wahai Abul Hubab, cepatlah … Nanti kami akan memberikan wang sebagai upah kepadanya.”
Tidak sabar ingin segera mendapat upah, Ibnu Salul pun menyuruh penjaga rumah untuk memanggil Masikah serta hamba-hamba wanita yang lain.
Tetapi penjaga rumah mengulas, “Masikah tidak mahu lagi melakukan perkara itu, Tuan.”
“Bagaimana perkara itu boleh terjadi?” Ujar Ibnu Salul gusar.
“Hal ini berlaku sejak hari ini, Tuanku. Dia telah meluruskan fikirannya …”
Ibnu Salul pun bangkit, pergi ke bilik Masikah dan menolak pintu dengan kakinya. Tetapi betapa terkejutnya Ibnu Salul, semasa ia menjenguk ke bilik ternyata didapati bahawa Masikah, hamba wanita yang beliau miliki sedang menunaikan solat.
Ibnu Salul tercekat, melihat perubahan yang terjadi pada Masikah. Maka tanpa banyak soal, Ibnu Salul mendekati dan mendera Masikah dengan kasar. “Celaka kamu! Muhammad rupanya telah mempengaruhi kamu!”
“Tidak!” jawab Masikah setengah terkejut.
“Baginda ﷺ telah menunjukkan jalan terang padaku tentang kebenaran …”
Jawapan Masikah menimbulkan kemarahan Ibnu Salul. Dia kembali mendera Masikah, menyepak hamba itu dengan kakinya. Masikah pun terluka. Kemudian Ibnu Salul keluar sambil mendengus geram dan kecewa.
Penjaga yang melihat itu bersuara, “Biar aku bercakap kepadanya, Tuan, agar ia boleh kembali seperti sediakala.”
Penjaga rumah Ibnu Salul itu lalu memasuki bilik Masikah bersama seorang wanita. Tatkala dia melihat keadaan Masikah yang tercedera, dia turut hiba. Wanita yang ikut bersama penjaga rumah, kemudian menyuruh membalut luka yang dialami Masikah dan mengambilkan sedikit buah.
Penjaga rumah itu kemudian bertanya tentang apa yang diperbuat oleh Ibnu Salul selepas dia didatangi tetamu daripada Bani Tamim yang ternyata menaruh minat terhadap Masikah. Penjaga rumah menjelaskan bahawa orang-orang daripada Bani Tamim yang menghendaki Masikah itu akan memberikan harta sebagai tebusan bagi anaknya kelak jika Masikah melahirkan bayi.
“Demi Allah! Aku tak akan menderhaka terhadap Allah lagi walaupun tubuhku dipotong-potong!” Tegas Masikah.
Masikah sudah lama menjadi hamba wanita Ibnu Salul tetapi Ibnu Salul ternyata tidak menjadikan Masikah bekerja dalam perkara baik, melainkan dijadikan hamba nafsu bagi lelaki yang memerlukan kesenangan, dari situlah Ibnu Salul meraih upah.
Sebelum Rasulullah hijrah ke Madinah, Ibnu Salul sudah memaksa hamba-hamba wanita daripada kaum Yahudi dan yang lain, termasuk Masikah. Bagi menampung mereka itu, Ibnu Salul membuka rumah yang di depannya dikibarkan bendera merah sebagai tanda peremisnya.
Secara sembunyi-sembunyi, Masikah kemudian mendekati wanita-wanita daripada kaum Ansar dan dia boleh mendapatkan keterangan jelas tentang Islam. Dari ayat-ayat Al-Quran yang didengar daripada wanita-wanita Anshar itu akhirnya hati Masikah mendapat cahaya terang.
.
Di antara ayat al-Quran yang pernah didengar oleh Masikah, adalah firman Allah pada surah Thaha :
“Thaha, Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (Iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah yang bersemanyam di atas Arasy. Kepunyaan-Nya-lah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. Dan jika kamu menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi. Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Dia mempunyai al-Asmaaul Husna (segala nama yang baik).”
(Surah At-Thaha 20: Ayat 1-8)
.
.
Seiring perjalanan waktu, Masikah pun semakin mengenali Islam. Dia tahu Islam itu adalah kesaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah. Selain itu, Islam menyuruh mendirikan solat, membayar zakat, melaksanakan puasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi sesiapa yang sanggup menunaikan perjalanan ke Baitullah.
Mengetahui bahawa ia bergelumang dengan dosa, maka Masikah bertanya tentang seseorang yang telah berbuat dosa. Ia mendapat jawapan, bahawa pintu-pintu harapan untuk bertaubat kepada Allah itu sentiasa terbuka, sebagaimana bunyi firman Allah yang dia dengar,
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Az-Zumar 39: Ayat 53)
.
Maka Masikah merasa sudah sampai masanya untuk bertaubat, lari daripada jerutan dosa. Akhirnya setelah tiba malam, sementara hamba-hamba wanita lain sedang hanyut dalam buaian kesenangan, Masikah keluar daripada rumah Ibnu Salul, sambil terhendap-hendap.
Dalam kegelapan itu, Masikah dapat keluar dari rumah dengan selamat. Tetapi selepas Masikah keluar, dia menjadi buntu. “Ke mana saya harus pergi?”
Mujur dia teringat dengan wanita tua yang pernah membuat dia sempat mendengar mengenai Al-Quran, mengenali Islam dan mendapatkan hidayah Allah سبحانه وتعالى. Masikah lantas berjalan ke rumah wanita tua tersebut. Wanita itu yang tinggal seorang diri, menerima masikah dengan tangan terbuka.
Esok paginya, perempuan itu menghantar Masikah pergi ke masjid bagi menemui Rasulullah ﷺ. Bersamaan ketika Masikah yang dihantar wanita itu tiba di masjid, waktu itu juga Abu Bakar pun keluar dari masjid tersebut.
Abu Bakar terhenti, melihat wanita yang mengalami luka-luka. Kemudian wanita tua yang menghantar Masikah bercerita bahawa semua itu tidak lain akibat perbuatan Ibnu Salul yang telah memaksa Masikah untuk melacur.
Abu Bakar terus masuk semula ke masjid untuk menemui Rasulullah ﷺ, dan bercerita apa yang dialami Masikah. Rasulullah ﷺ diam seketika, sebelum kemudiannya telah turun wahyu daripada Allah سبحانه وتعالى kepada Rasulullah ﷺ yang berbunyi,
.
Sementara itu, Masikah menyedari bahawa ayat yang turun tersebut adalah berkaitan dengan dirinya, maka hati Masikah semakin teguh kepada Agama Islam. Dalam pada itu, berita tentang Masikah telah tersebar dan orang ramai mengetahui mengenai maksud dan tindakan daripada Abdullah bin Ubai bin Salul yang zalim itu.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
.
via Bin Usrah