Jurucakap kumpulan itu, Norfarihan Baharudin, 24, berkata, dia bersama rakan-rakan yang lain sememangnya berhasrat memohon maaf lebih awal sebaik saja mengetahui gambar dan video mereka viral di media sosial. Namun tidak berkesempatan berbuat demikian selepas dikecam hebat oleh netizen.
"Harap semua faham, apabila dikecam masyarakat, saya tidak berpeluang memberi penjelasan. Kami memohon maaf dan setiap percakapan yang mahu diperkatakan juga takut untuk diberitahu.
"Kami mahu meminta maaf kepada masyarakat dan tahu perbuatan ini salah," katanya, memetik laporan dari Harian Metro.
Norfarihan bersama empat lagi rakannya, Azlina Azmin, 21, Nor Farina Baharudin, 22, serta Muhammad Zaki Nasarruddin dan Muhammad Faiz Roslee masing-masing berusia 23 tahun sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Menjelaskan tindakan mereka itu, Norfarihan berkata mereka memilih mercu tanda 'IPOH' kerana keunikannya. Malah masing-masing di antara mereka mempunyai pengalaman melakukan aktiviti lasak termasuk lagak ngeri secara sambilan bagi penggambaran filem selain sering mendaki bukit dan gunung termasuk di Thailand dan Vietnam.
"Kami ada latar belakang masing-masing, jadi ketika naik, kami sebenarnya sudah memikirkan isu keselamatan. Cuma tidak menyangka perkara ini menjadi viral dan dikecam," katanya.
Jelas Norfarihan lagi, gambar dan video itu bukan disebarkan oleh mereka, sebaliknya dilakukan pihak yang menemubual dia yang kemudian memuat naik ke media sosial sebelum menjadi viral.