LONDON - Seorang bintang YouTube Amerika dihalau keluar dari pesawat Delta Airlines hanya kerana bercakap dalam bahasa Arab, lapor Daily Mail.
Adam Saleh, 23, yang mempunyai 1.6 juga pengikut di laman YouTubenya, diiring keluar dari pesawat penerbangan yang dijadualkan berlepas ke New York selepas seorang penumpang wanita terdengar Adam bercakap dalam bahasa Arab yang membuatkannya 'rasa kurang selesa'.
Selebriti internet itu kemudian merakam keseluruhan insiden itu sebelum memuat naik tweet, "Kami ditendang keluar dari pesawat Delta hanya kerana saya bercakap dalam bahasa Arab dengan ibu saya dalam telefon dan rakan. WTF tolong sebarkan."
Menurut Adam lagi, sudah menjadi kebiasaannya untuk menghubungi ibunya terlebih dahulu sebelum pesawatnya berlepas bagi mendapatkan keberkatan dalam perjalanan. Namun kali ini, tindakannya itu telah mencetuskan insiden yang tidak dijangkakan.
"Saya selalu menghubungi ibu saya setiap kali sebelum berlepas dan ibu hanya bercakap dalam bahasa Arab.
"Apabila saya sedang bercakap dengan ibu, seorang penumpang wanita Amerika yang duduk di depan berpaling ke belakang dan menyuruh saya bercakap dalam bahasa inggeris. Namun saya kata saya bebas berbahasa apa sahaja bahasa yang disukai menyebabkan wanita itu mula menjerit sebelum kami dihampiri oleh kapten pesawat yang meminta kami keluar dari pesawat.
Insiden itu benar-benar membuatkan Adam terkilan kerana sikap rasis wanita berkenaan dan beberapa penumpang yang lain.
We got kicked out of a @Delta airplane because I spoke Arabic to my mom on the phone and with my friend slim... WTFFFFFFFF please spread http://pic.twitter.com/P5dQCE0qos— Adam Saleh (@omgAdamSaleh) December 21, 2016
"Insiden itu membuatkan saya seperti pengganas. Semua orang seperti "kick him out!". Sikap rasis mereka ini membuatkan saya rasa kurang selesa," katanya.
Difahamkan Adam dan rakannya telah disiasat polis berikutan insiden itu. Namun, tiada sebarang pendakwaan yang dikenakan terhadap mereka. Adam dan rakannya telah menempah tiket penerbangan yang seterusnya pulang ke bandar New York.
Dalam tweetnya, Adam mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung insiden itu.
Sementara itu, Delta Airlines mengesahkan dua penumpangnya telah dikeluarkan dari pesawat selepas insiden yang menyebabkan 20 penumpang pesawatnya yang lain berasa kurang selesa dengan insiden tersebut.
"Kami memandang serius terhadap dakwaan layanan diskriminasi ini dan akan menjalankan siasatan penuh untuk mengetahui kejadian yang sebenar," kata jurucakap Delta. - The Reporter