Loading...
gengsensasi

'Tunggu aku viralkan kau! ****** punya doktor!' - Doktor kongsi kisah ibu berniat gugurkan bayi


Semua orang pernah buat silap. Aku. Kau. Dia. Semua! Tiada siapa terkecuali. Ini aku kongsi kisah aku, agar kau tak ulangi kesilapan yang sama.

"Doktor boleh bagi ubat turun darah?" soalnya.

Seorang wanita datang ke klinik mengadu. Katanya belum sedia timang cahaya mata kedua. Anak pertama belum masuk setahun. Hutang belanja majlis aqiqah belum sempat terlunas. Sudah hamil lagi. Dia datang pada hari itu untuk minta ubat turun darah.

"Tiada." jawabku pendek.

Dia mengangguk-angguk sambil matanya merenung ke lantai, kemudian menekup mukanya dengan telapak tangan. Nafas dihela dalam, dan dihembus laju. Antara mengeluh dan mendengus.

"So, macam mana?" soalnya sebaik sahaja mengalihkan tangan dari muka.

"Macam mana, apa?" balasku.

"Yelah. Macam mana sekarang ni? Takkan lah doktor tak boleh tolong? Mesti ada cara kan? Bagi je lah ubat turun darah tu. Kawan-kawan saya kata klinik ni ada jual," bentaknya.

Telinga aku berdesing. Bukan kerana keras suaranya, tapi kerana dua perkara ini.
  1. Ubat turun darah? Janin berusia 18 minggu bukan hanya darah. Ia bernyawa. Menamatkan nyawa tanpa justifikasi kukuh melanggar prinsip aku sebagai seorang manusia, seorang doktor dan seorang muslim.
  2. Klinik ini, sumber rezeki keluarga aku. Aku dibesarkan dengan hasil peluh dan keringat ibubapa aku mengusahakan klinik ini. Mengatakan klinik ini terlibat dalam pengguguran janin, adalah suatu penghinaan yang amat besar pada keluarga aku.

Aku tak boleh terima, mata aku berkunang-kunang, dada aku bergejolak, telinga aku kebas, pelipis aku berdenyut, penumbuk aku kepalkan dan gigi aku ketapkan. Menahan diri meledak, aku bersuara.

"Pengguguran bayi ni bahaya. Kadang kala ada komplikasi. Tapi saya ada cara yang lebih mudah," aku kata.

"Okey. Macam mana doktor?". Dia tersenyum.

"Awak bunuh anak sulung awak" jawabku.

"BODOH! GILA PUNYA DOKTOR!" tempiknya.

"Apa bezanya? Anak dalam rahim awak pun, anak awak. Makhluk bernyawa. Kenapa awak sanggup nak gugurkan dia?” kataku dengan nada menyindir.

"KURANG AJAR! TUNGGU! AKU VIRALKAN KAU! ******* PUNYA DOKTOR!" bentaknya sambil bingkas bangun dari kerusi, lalu meninggalkan bilik konsultasi. Pintu dihempas kuat. Kedengaran dia memekik-mekik sambil beredar meninggalkan klinik.

Aku bersandar ke kerusi, tanganku disilangkan ke belakang kepala dan merenung siling. Setelah beberapa ketika, aku terasa lenguh pipi. Kemudian, baru aku perasan, aku tersenyum.

"Astaghfirullah!" lekas-lekas aku istighfar.

Entah apa yang merasuk aku malam itu. Dalam pada aku tegakkan prinsip aku menolak perkara yang bertentangan dengan syarak, syaitan sempat memperdaya aku. Dihembusnya amarah ke dalam hati, disuntik kebencian ke dalam nadi, sehingga dalam jihadku menuju Tuhan, aku telah melencong ke lembah kebinasaan. Aku menyesal berkata begitu pada pesakit.

Setahun berlalu, sepanjang ini aku berdebar menunggu apa-apa yang memalukan tular di media sosial. Bimbang ada orang datang pukul aku. Setakat ini, Tuhan masih menutup aib. Alhamdulillah.

Namun begitu, hari ni aku sendiri buka aib itu, agar kau boleh ambil pengajaran. Semoga bermanfaat.

Nota kepada para doktor dan petugas kesihatan:

Apabila memberi konsultasi kepada pesakit, jika kata-kata kita lebih cenderung untuk menyakiti daripada mengajak kepada kebaikan, maka berhenti sebentar dan perbaharu niat kita.

Pendosa

About Cite Malaya

Powered by Blogger.