KUALA LUMPUR - Seorang wanita mendakwa dirinya dilayan seperti binatang dan dimasukkan ke wad gila di sebuah hospital, walaupun dia tidak mempunyai masalah mental.
Pengadu, memuat naik status tersebut di laman Facebooknya pada pagi semalam, telah dikongsi 1,304 pengguna Facebook.
Difahamkan, pengadu dibawa oleh abangnya ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan kecemasan kerana dia pengsan akibat pengambilan ubat yang berlebihan dari dos yang sepatutnya.
"Saya dilayan seperti binatang, tak diberi makan, minum, malah nak pergi ke tandas pun tak boleh.
"Abang saya bawa ke emergency sebab saya pengsan, terlebih ambil ubat dari dos sepatutnya. Abang saya meminta untuk masukkan air sahaja sebab saya lemah. Tetapi hospital itu masukkan saya di wad gila.
"Kaki, tangan kiri dan kanan diikat di katil. Siap dicubit dan dilemparkan kata-kata kesat serta muka ditekup dengan selimut," katanya.
Jelas pengadu, semalaman dia terpaksa duduk di wad berkenaan, sebelum dimaklumkan kepada abangnya yang kemudian melaporkan perkara itu kepada doktor yang bertugas.
"Doktor cuma cakap minta maaf dan sabar sebab pihak hospital tersalah masukkan saya di wad tersebut," katanya.
Selain itu, bahagian lengan, pergelangan tangan dan lutut pengadu juga lebam dan luka.
"Elok-elok tak sakit, jadi sakit. Habis lebam dan luka badan saya. Di bahagian muka pun ada.
"Tak boleh bayangkan saya duduk dalam wad gila. Dengan orang bercakap seorang-seorang, kejap gelak, kejap menangis. Pengalaman paling teruk!
"Mereka ikat saya di katil, sedangkan saya tak gila. Saya meronta-ronta namun dicubit dan muka saya ditekup dengan selimut.
Difahamkan, pengadu dan keluarganya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak hospital yang didakwa cuai sehingga menyebabkan mangsa menerima layanan yang tidak sepatutnya. - The Reporter