SHAH ALAM, SELANGOR - Mungkin kerana malu dikritik oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengenai tindakan bertuala di pintu masuk utama Bangunan SUK Selangor, Datuk Jamal Yunos tampil menyindir penyanyi berkenaan dengan cara yang agak keterlaluan.
"Pesanan saya kepada Siti, jaga air sendiri yang tidak berapa subur itu atau cari air lain," tulis Jamal seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today (FMT).
Pesanan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu menimbulkan rasa kurang banyak pihak terutamanya peminat Datuk Siti Nurhaliza.
Di media sosial, netizen mengecam kenyataan Jamal yang dianggap biadab, menghina dan mempertikaikan kuasa tuhan.
Bagaimanapun, Datuk Siti tidak melenting, malah tidak mahu membalas pesanan dari Jamal tersebut.
"Takpe dik, biarkan mereka. Kata-kata orang macam ini tak memberi kesan pada saya sebab saya tahu mereka cakap tak guna otak yang Allah kurniakan," katanya membalas tweet salah seorang peminatnya di laman Twitter.
Sementara itu, TMC Fretility Centre meluahkan rasa terkejut dengan kenyataan Jamal yang mempersendakan Datuk Siti Nurhaliza yang masih belum hamil.
Pengurus Komunikasi TMC Fertility Centre, Chan Li Jin berkata, sindiran yang dibuat oleh Ketua Baju Merah itu adalah satu penghinaan terhadap pasangan yang berusaha keras untuk mendapatkan zuriat.
"Dia bukan sahaja perlu memohon maaf kepada Siti tetapi juga kepada semua wanita yang terpaksa berdepan kesakitan mental dan emosi kerana gagal hamil. - The Reporter