Loading...
gengsensasi

Hukuman Penjara 14 Hari Terlalu Ringan - Peguam Negara


KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap hukuman mahkamah yang dijatuhkan ke atas suami isteri yang mengasari anggota penguat kuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata ini kerana ia berpandangan hukuman ke atas Lor Ka Hoo dan Tan Sit Fun iaitu penjara 14 hari dan denda RM3,000, dan jika gagal membayar denda dipenjara tujuh hari, adalah terlampau ringan berbanding kesalahan yang dilakukan.

Rayuan terhadap keputusan itu difailkan pada hari sama hukuman dijatuhkan iaitu Jumaat lalu, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Walaupun kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah, hukuman yang setimpal hendaklah dikenakan demi memberi pengajaran kepada mereka di samping menjadi teladan kepada yang lain agar tidak melakukan perbuatan sama," katanya.

Mohamed Apandi menegaskan Jabatan Peguam Negara amat memandang serius perbuatan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Perbuatan sedemikian, katanya, adalah kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Lor, 35, dan Tan, 30, mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, ketika pegawai itu mengeluarkan saman ke atas sebuah kenderaan di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kemarahan tertuduh dan pergaduhan antara kedua-dua pihak menjadi viral selepas video berdurasi dua minit 10 saat tersebar di laman sosial. - BERNAMA

About Cite Malaya

Powered by Blogger.