SHAH ALAM, 7 Nov — Hasrat penyanyi Elly Mazlein untuk kembali menunjukkan bisa dalam Gegar Vaganza (GV) tidak kesampaian apabila disingkirkan selepas mendapat markah tercorot malam tadi.
Elly, 36, berkata apa yang lebih menyedihkan ialah komen juri Datuk Ramli MS yang membangkitkan soal ihsan agar beliau mampu bertahan dalam pertandingan itu.
“Saya kecil hati dengan Tok Ram cakap. Saya tak minta simpati sesiapa. Saya masuk ke sini sebab saya nak berjuang.
“Ibarat macam nak buka buku baru selepas apa yang menimpa ke atas diri saya. Saya tak naklah tak habis-habis benda ini.
“Tak sangka Tok Ram boleh cakap di luar daripada komen itu. Itu yang buat saya terkejut. Saya sangat sedih,” kata Elly merujuk Ramli dalam satu sidang media selepas konsert GV di sini malam tadi.
Mendendangkan Jangan Menangis Sayang bersama Acong, Elly mendapat kritikan daripada Ramli yang membuatkannya mahu menarik diri daripada konsert itu.
Ramli berkata walaupun penghayatannya baik dalam nyanyian namun kelemahan teknikal masih perlu diperbaiki.
“Teknikal agak teruk. Dari segi intonasi dan nada agak teruk tetapi markah pun baik juga. Saya perlu adil.
“Jiwa kamu lebih daripada teknikal dan itu menyelamatkan kamu. Tidak mengapa. Banyak lagu yang diberi kamu dapat menjiwai.
“Teknikal itu, tengoklah atas ihsan kami,” kata Ramli.
Sumber : Informasiberganda